My Favrot

Showing posts with label ilmu. Show all posts
Showing posts with label ilmu. Show all posts

Wednesday, 5 July 2017

Hukum Memakai Inai bercorak


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Wednesday, 3 July 2013

Tarbiyah Ramadhan Melahirkan Generasi Bertaqwa :)

Bismillahirrohmanirrohim...
Enda lama lagi Ramadhan kan ? :) hari ni kita bercerita tentang Bulan yang penuh Barakah ini ;)

Ramadhan adalah universiti tarbiyah yang luarbiasa. Pelbagai ganjaran berganda dihidangkan buat kita semua. Dalam kesibukan kita mengutip pahala yang melimpah ruah pada setiap amal ibadah yang kita laksanakan, di dalamnya sarat dengan muatan tarbiah ruhiyah, membangkitkan kembali jiwa yang penuh sesak dengan rawasib-rawasib (karat) dosa sejak pasca Ramadhan tahun yang lalu. Saat kita berada dipertengahan Ramadhan, perlulah kita menilai prestasi kita dalam menjalankan modul-modul tarbiyah yang tersusun indah di bulan luarbiasa ini. Apakah jiwa kita telah ditarbiyah agar saat graduasi kelak, kita akan beroleh keputusan yang cemerlang, lulus sebagai mukmin muttaqin, yang bertaqwa. Nilai taqwa itulah yang kita harap dapat kita raih.

Graduasi Taqwa

Ya, graduan generasi bertaqwa. Formula pembinaannya telah dicatat di dalam Al-Quran. Justeru, sepanjang Ramadhan ini, Al Quran sewajarnya bukan sekadar dibaca untuk meraih pahala berganda, khususnya buat para pemuda, tetapi ditadabur untuk menggapai formula membina pemuda pemudi yang bertaqwa. Ramadhan tidak akan ada maknanya kita sambut saban tahun tanpa kita mencapai martabat generasi bertaqwa. Buat para pemuda pemudi Islam, marilah kita mengambil kesempatan semaksima mungkin mengikuti modul latihan realiti pembinaan generasi bertaqwa. Dalam madrasah rabbaniyah ini, kita sangat memerlukan pelajaran-pelajaran yang terdapat di dalamnya, khususnya buat para pemuda pemudi umat yang menginginkan kebangkitan Islam bersinar kembali.

Ramadhan adalah bulan daurah Al-Quran. Al-Quranul-Karim dalam pandangannya yang menyeluruh kepada alam semesta ini, manusia dan kehidupan ini, telah menerangkan kepada kita satu manhaj yang amali dalam mempersiapkan manusia di segi roh, pembentukan keimanannya dan pentarbiyahan kejiwaannya yang akhirnya melahirkan generasi bertaqwa.

Firman Allah dalam Surah Al-Anfal:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.” (Al-Anfal:29)

Firman Allah dalam Surah Al-Hadid:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad) supaya Allah memberikan kepada kamu dua bahagian dan rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya serta diampunkan dosa kamu dan ingatlah Allah amat Pengampun lagi amat Pengasihani.” (Al-Hadid: 28)


Dan firman Allah dalam surah At-Talaq:

“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan segala larangan) nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar (dari perkara yang menyusahkan) serta memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangkakannya.” (At-Talaq :2-3)

Renungi dan perhatikanlah dalam keseluruhan rangkaian ayat-ayat tadi, apakah yang kita dapati?

Taqwa dan Kekuatan

Kita mendapati bahawa ketakwaan kepada Allah Azzawajala adalah merupakan asas gelombang kekuatan, serta asas bagi nur (cahaya) yang menyuluh dan asas bagi pemberian serta sumbangan (pengorbanan).

Dalam pada itu juga dengan ketakwaan kepada Allah SWT sahajalah yang membolehkan seseorang mukmin membezakan antara yang “putih” dengan yang “hitam”, iaitu membezakan antara yang hak dengan yang batil.

Begitulah dengan ketakwaan kepada-Nya, Allah menjadikan bagi mereka yang bertakwa satu nur (cahaya). Lantaran dengan cahaya tersebut mereka berjalan di kalangan manusia lalu manusia seluruhnya berpandukan dengan nur hidayah (yang mereka bawa) dan bersinarkan dengan nur tersebut.

Dengan ketakwaan kepada-Nya, mereka (yang bertakwa) mendapat jalan keluar (daripada kesusahan) kepada jalan yang penuh dengan keamanan. Sekalipun mereka di ketika itu berhadapan dengan maut serta berhadapan dengan seksaan-seksaan. Sayyid Qutb dalam mentafsirkan firman Allah (Surah Al-Anfal:29) menyatakan:

“Inilah dia bekalan iaitu bekalan persediaan dan kelengkapan di perjalanan. Bekalan ketakwaan yang menghidup, membangkit dan menyedarkan hati, membuahkan di dalamnya setinggi-tinggi kesedaran, kewaspadaan dan berhati-hati. Menyediakan baginya sinar cahaya petunjuk yang menyingkap segala rintangan ujian di liku-liku perjalanan yang sejauh mata memandang. Cahaya petunjuk ini merupakan cahaya yang tidak dikelami dengan sebarang syubhat (kesamaran) serta mendindingi pemikiran yang sempurna dan benar. Kemudiannya, ia adalah merupakan bekalan keampunan dan memaafkan sebarang kesalahan, bekalan kedamaian yang mencurahkan ketenangan dan kegembiraan, bekalan cita-cita serta impian untuk memenuhi dan mencapai kurniaan Allah yang maha besar di ketika hari yang tiada di sana sebarang bekalan di ketika hari yang mana keseluruhan amalan adalah sia-sia, tidak mempunyai sebarang nilaian. Kesemuanya ini adalah merupakan kenyataan: Bahawa hanya ketakwaan kepada Allah sahajalah yang benar wujud dan menjelma di hati, satu petunjuk yang membezakan antara yang benar dan yang batil yang seterusnya menyingkapkan rintangan dan halangan di perjalanan. Begitu juga dengan hakikat-hakikat kepercayaan (akidah) ini tidak akan dirasai, difahami dan diketahui melainkan kepada mereka yang melaksanakan secara amali.”

Taqwa Generasi Terdahulu

Lantaran itu, buat perhatian pemuda pemudi Islam, sedarilah bahawa betapa pentingnya ketakwaan, maka apakah kita tidak serius melalui madrasah Ramadhan buat sekian kalinya ini. Bagi generasi Al-Quran yang telah dibina oleh Rasulullah SAW mereka sentiasa menantikan kembalinya Ramadhan bagi memperbaharui jiwa dan memperkasakan iman mereka, lantas mereka graduan buat sekian kalinya sebagai generasi bertaqwa, kemudian mereka bersikap dan berprestasi luarbiasa sehingga memungkinkan dunia jahiliah tunduk kepada kebenaran Al-Quran dan Islam yang dibawa.

Penjelasan Allah SWT terhadap kemuncak puasa di sepanjang Ramadhan amat jelas. Firman Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. (QS Al-Baqarah:183)

Ternyata Al-Quran begitu mengambil berat tentang fadilat (kelebihan) ketakwaan, bahkan dalam pada itu ia menyeru manusia kepada ketakwaan dan menempatkan serta memberikan keistimewaan kepadanya. Sebilangan besar dari ayat-ayatnya yang jelas sehinggalah para pembacanya, hampir-hampir tidak tertinggal satupun muka surat ayat-ayat suci Al -Quran ataupun sebahagiannya melainkan mereka akan mendapati kalimah “attakwa” di sana sini yang dinyatakan oleh yang Maha Pengingat dan Maha Bijaksana.

Para sahabat dan salafus salih begitu mengambil berat tentang ketakwaan di mana mereka memastikan, bermujahadah untuk mencapainya dan sering bertanya mengenainya. Umar bin Al-Khattab pernah bertanyakan Ubai bin Kaab tentang takwa. Ubai bertanya: “Pernahkah engkau berjalan di jalan yang berduri? Umar menjawab, “Bahkan!” Ubai bertanya: “Apa yang engkau lakukan apabila berjalan di jalan tersebut? Jawab Umar: “Aku berhati-hati dan berusaha (melepasi nya).” Lalu Ubai berkata: “Maka yang demikian itulah ketakwaan”.

Berasaskan kepada pengertian ketakwaan seperti yang dinyatakan oleh Ubai bin Kaab dalam jawapannya terhadap soalan yang dikemukakan oleh Umar al faruq, Sayyid Qutb Rahimahullah menyatakan di dalam tafsirnya, “Fi Zilalil Quran”:

“Yang demikian itulah ketakwaan, kehalusan rasa dalam tindakan, keheningan pada perasaan, ketakutan yang berterusan, kesentiasaan di dalam kewaspadaan dan pemeliharaan (diri) dan ranjau-ranjau di jalan. Jalan kehidupan. Jalan yang sentiasa dirintangi oleh ranjau-ranjau keinginan hawa nafsu, ranjau-ranjau kehalobaan, kebanggaan serta yang menakutkan dan menggetarkan hati, ranjau-ranjau tipuan pengharapan bagi mereka yang tidak mempunyai pengharapan. Tiupan ketakutan dari mereka yang tidak memberikan kemanfaatan serta kemudaratan dan puluhan macam ranjau-ranjau yang lain.
Luar biasa Taqwa..
 
Cukuplah “takwa” dengan segala kelebihan dan keberkesanannya. Sesungguhnya ia merupakan pemancar kelebihan (fadilah) kepada masyarakat seluruhnya. Satu-satunya jalan untuk mengawal kerosakan, kejahatan dan dosa. Bahkan ia merupakan rukun yang paling asasi dalam pembentukan sesebuah keperibadian di segi kejiwaan dan akhlaknya.

Itulah hakikat ketakwaan yang kesannya begitu terasa dalam pentarbiyahan sesebuah peribadi dan pembentukan sesebuah jamaah. Wahai generasi kemudian, bersungguhlah di sepanjang 30 hari menuntut di Universiti Ramadhan. Raihlah pahala tanpa batas dan keampunan dari Allah SWT serta pembebasan dari api neraka. Suburkan ketaqwaan dalam diri agar menjadi tunjang kekuatan untuk memperjuangkan Deen Allah SWT terus terangkat dan berada di puncak. Lantas dengan nilai taqwa inilah kita thabat di jalan dakwah dan tarbiah yang perjalanannya masih panjang.
 
Petikan dari -> Cinta ilahi ..
 
wassalam...

Wednesday, 8 May 2013

Cara Merawat Hati :)



bismillahirrohmanirrohim..
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati."
Bukhari dan Muslim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap penyakit akan ada ubatnya. Penyakit yang paling sukar diubati adalah penyakit hati manusia. Jika hati manusia sudah sakit dan pemilik hati tersebut tidak tahu bahawa hatinya berpenyakit maka sukar untuk di ubati. Tetapi jika pemilik hati tahu dia sedang sakit dan berusaha untuk mencari penawarnya maka ianya satu petanda bahawa ubat yang dicari akan ditemui dan insya Allah hati tersebut akan dapat di ubati dan akan menngalami penyembuhan.
Terdapat 18 cara dan rawatan hati yang perlu dilakukan supaya hati kalian dapat dirawat dan terhindar daripada penyakit hati. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Mentarbiah hati supaya mencintai Allah SWT dengan sedalam-dalamnya.
2. Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran.
3. Mendekatkan kepada Allah SWT dengan amalan-amalan sunat.
4. Khusyuk dalam solat.
5. Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah SWT.
6. Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah SWT dan mengharapkan keredaan-Nya.
7. Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.
8. Beriktikad dengan akidah yang betul.
9. Sentiasa melakukan muhasabah diri.
10. Memperuntukkan masa bagi Allah SWT menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.
11. Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.
12. Tunduk dan khusyuk kepada Allah SWT dalam segenap tindakan dan perbuatan.
13. Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.
14. Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah SWT.
15. Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.
16. Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan.
17. Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.
18. Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang soleh yang boleh dijadikan teladan.
Sahabat yang dimuliakan,

Marilah sama-sama kita beramal dengan 18 perkara di atas yang akan mendekatkan hubungan hati kita dengan Allah SWT dan meningkatkan ilmu dan amal dan istiqamah dengan jalan yang hak. Hanya hati yang bersih, mulia, sejahtera dan ikhlas akan dapat memasuki syurga Allah SWT yang bebas daripada penyakit-penyakit hati.

Artikel oleh Ustaz Abu Basyer / Design Oleh Zulhafidz Yahaya
بَلَى مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَلَهُ أَجْرُهُ عِندَ رَبِّهِ وَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ
(Tidak demikian) bahkan barang siapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati
(Al-Baqara 2:112) 

Dunia terlalu kecil untuk ditangisi :')


Kesedihan adalah satu fitrah yang Allah ciptakan kepada hambaNya.
Kadangkala kesedihan mampu membuat kita kembali kepadaNya, dan kadangkala juga kesedihan membawa kita jauh dariNya. Semuanya berlaku kerana izin Allah Ya Rabbul Izzati. Maka kemanakah tempat terbaik untuk kita mencurahkan kesedihan agar ia tidak menjadi perkara yang sia-sia?
Acap kali, manusia itu bersedih kerana perkara duniawi semata-mata. Apabila kita gagal dalam peperikasaan kita akan bersedih. Ketika putus cinta dengan sang kekasih kita akan bersedih. Hatta apabila kita kehilangan sesuatu yang kita sayangi, kita juga pasti akan bersedih. Persoalannya, wajarkah untuk kita bersedih semata-mata perkara dunia yang kelihatan besar di mata kita, sebenarnya terlalu kecil disisi Allah Azzawajalla.

Dalam sebuah Hadith Sahih disebutkan:
"Seandainya nilai dunia ini disisi Allah sama nilainya dengan sayap seekor nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir walau seteguk air pun."
Menurut Allah, dunia lebih tidak berharga dari sayap seekor nyamuk. Maka inilah hakikat sebenar nilai dan timbangan dunia ini disisi Allah. Lalu atas alasan apa untuk kita bersedih dan gelisah kerana hal dunia semata-mata?
Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah seorang ulama yang sangat masyur pernah mengatakan bahawa:
Mengingati Allah itu ibarat air kepada ikan, lihat keadaan ikan apabila berjauhan tanpa air.
dan Ibnu Qayyim Al Jauziyyah juga pernah mengatakan bahawa:
Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali gembira mengenali Allah.

Sakinah atau kebahagian adalah apabila anda merasa aman atas diri sendiri masa depan, keluarga dan kehidupan anda sendiri. Dan semua ini terhimpun dalam keimanan, redha terhadapa qadha' dan qadhar serta diiringi oleh sifat qana'ah dan sabar.
Oleh itu kita harus kembali kepada hakikat hidup yang sebenar, jadikanlah kesedihan itu sebagai ruang untuk kita meraih pahala daripadaNya dan bukannya kita lemparkan dan luahkan segala kesedihan kita semata-mata kerana dunia, kerana dunia ini terlalu kecil untuk ditangisi.

Thursday, 6 September 2012

ilmu menjadikan kita takut kepada Allah S.W.T

Oleh : PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN 

Pada hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam di negara ini sudah mula berjinak-jinak dengan majlis-majlis ilmu dan ulama. Di masjid-masjid dan surau-surau majlis-majlis pengajian ilmu semakin rancak diadakan.
Ia mendapat sambutan yang memberangsangkan dari segenap lapisan masyarakat yang dahagakan ilmu dan pentarbiahan hatta terdapat masjid yang mengadakan majlis pengajian pada setiap malam. Ini suatu perkembangan yang baik kepada peningkatan kualiti umat Islam di negara ini dan agama Islam itu sendiri.
Persoalannya, apakah ilmu yang mereka perolehi ini benar-benar memberikan manfaat dan kesan ke dalam diri mereka?
Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan membesarkan Allah dan menumbuhkan amal. Allah SWT telah memuji para ulama melalui firman-Nya:
Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.
(al-Faatir: 28)
Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke jalan akhirat. Kalam hikmah ini diungkapkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam Hikamnya yang bertajuk al Hikam al Atoiyyah.
Terbukti, kalam hikmahnya ini telah mampu melunakkan hati yang keras, menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu yang rakus dan mengajak manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian Allah SWT. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.
Adapun orang alim yang tidak mempunyai perasaan takut kepada Allah bukanlah orang alim yang sebenarnya.
Lebih-lebih lagi, orang alim yang keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, kemegahan dan bersikap takbur dengan ilmunya.
Ilmu sebegini hanya akan menjadi hujah ke atasnya di akhirat kelak dan sebab yang akan mengundang bala dan akibat yang buruk kepadanya.
Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata,
"Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati".
Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa.
Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat, tidak memiliki sifat bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain, berlapang dada, mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah.
Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata:
"Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan agama kecuali setelah berbincang dengan ulama. Maka kesudahannya akan dipuji di sisi Allah SWT".
Abu Muhammad r.a pernah ditanya:
"Wahai Abu Muhammad! Siapakah ulama?" Jawabnya: "Orang-orang yang mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri".
Saidina Umar ibn al Khattab r.a pernah mewasiatkan:
"Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah".
Al Wasiti r.a berkata:
"Manusia yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh Allah SWT".
Banyak ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Penuntut ilmu dijamin oleh Allah rezekinya".
Ketahuilah, bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan, ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang syahwat.
Disebut juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah, dan berdiri di atas landasan agama Allah.
Sebahagian Salaf berkata:
"Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)".
Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a:
"Apakah ilmu yang paling berguna?" Jawabnya, "Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu".
Beliau berkata lagi:
"Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara, memuliakan kekasih-
kekasih Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.
"Apabila orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada akhirat dan ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia".
Allah SWT berfirman (maksudnya):
Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.
(al-Rum: 7)
Rasulullah SAW bersabda:
"Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia)".
(riwayat Imam Ahmad dan al Hakim)
Fudhail ibn 'Iyadh berkata:
"Orang alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama. Apabila doktor telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam dirinya, maka bilakah masanya dia boleh mengubati orang lain".
Sesiapa yang ilmunya memandunya kepada menuntut dunia, ketinggian di dalamnya, jawatan dan pandangan makhluk, maka ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat. Bahkan, dia tertipu dengan ilmunya.
Tidak ada kerugian yang lebih besar daripada rosaknya orang alim dengan ilmunya yang diharapkan dapat menyelamatkannya. Kami memohon dengan Allah daripadanya.
Ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang diamalkan. Ulama mengumpamakan orang yang menghabiskan banyak waktu menuntut ilmu, duduk selama 40 atau 50 tahun belajar tanpa beramal, seperti orang yang asyik bersuci selama waktu itu dan memperbaharui wuduknya tetapi tidak solat walau satu rakaat.
Ini kerana maksud atau tujuan suatu ilmu ialah beramal dengannya sebagaimana tujuan berwuduk adalah untuk melakukan solat.
Berkata sebahagian ulama:
"Kalaulah ilmu tanpa takwa itu penentu suatu kemuliaan, nescaya semulia-mulia makhluk Allah ialah iblis".